Senin, 20 Juni 2011

Skuad Olimpik belum selamat

BIARPUN berjaya mengikat Lebanon 0-0 pada aksi pertama di Beirut kelmarin, skuad Olimpik negara masih belum boleh menarik nafas lega apabila perlu menghadapi baki 90 minit perlawanan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Khamis ini.

Kemenangan pada aksi kedua pusingan kedua itu nanti cukup penting bagi membolehkan skuad Olimpik negara mencipta sejarah mara ke pusingan ketiga Kelayakan Olimpik 2012.

Pusingan terakhir itu membabitkan 12 pasukan terbaik benua Asia yang dipecahkan ke dalam tiga kumpulan dengan juara setiap kumpulan akan layak automatik ke Sukan Olimpik 2012 di London manakala naib juara merebut slot playoff.

Jurulatih skuad Olimpik negara, Ong Kim Swee berkata, dia mahu anak-anak buahnya memberi fokus sepenuhnya terhadap perlawanan kedua di Bukit Jalil pada Khamis ini sekembalinya mereka ke tanah air pada pagi ini.

"Biarpun berjaya mengikat Lebanon di gelanggang lawan, kita sebenarnya masih belum melayakkan diri. Matlamat utama kita adalah untuk melangkah ke pusingan seterusnya.

"Jadi kita tak boleh berasa terlalu bangga dengan pencapaian di Beirut ini. Memang ia satu keputusan yang baik tetapi tugas sebenar kita masih belum selesai.

"Kita masih ada 90 minit lagi untuk menentukan nasib kita ke peringkat seterusnya," kata Kim Swee pada sidang media selepas perlawanan kelmarin.

Pada aksi yang berlangsung dalam cuaca panas terik di sebelah petang itu, skuad Olimpik negara tampil menguasai permainan babak kedua selepas kelihatan agak bertahan pada separuh masa pertama.

Pemain sayap, Wan Zack Haikal Wan Nor menjadi pemain yang paling banyak berjaya melakukan percubaan tepat tetapi ketiga-tiga percubaannya berjaya diselamatkan penjaga gol Lebanon, Mohamad Dakramanji.

Penyerang utama, Izzaq Faris Ramlan pula gagal menghadirkan percubaan berbahaya ke gawang lawan manakala penggantinya, Syahrul Azwari Ibrahim yang masuk pada minit ke-57 terlepas peluang keemasan pada masa kecederaan.

Sementara itu, jurulatih Lebanon, Samir Saad nyata terkejut dengan aksi mantap yang dipamerkan para pemain negara sepanjang perlawanan kelmarin.

"Saya lihat mereka telah beraksi cukup baik, penuh sistem dan tersusun. Apabila melakukan serangan balas, mereka pantas turun untuk bertahan dengan baik," kata Samir.

0 komentar:

Posting Komentar


Top