Senin, 20 Juni 2011

Pemain pamerkan kematangan - Shabery

WALAUPUN skuad Olimpik negara telah menunjukkan kematangan daripada segi pencapaian semasa, keyakinan di atas padang perlu ditingkatkan sekiranya mahu menang di halaman sendiri pada perlawanan kedua yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Khamis ini.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, usaha anak-anak buah Ong Kim Swee yang mengikat Lebanon seri tanpa jaringan di Beirut kelmarin, mereka diharap dapat mencipta kemenangan dengan kelebihan beraksi di tempat sendiri pada aksi kedua kelak.

"Saya lihat pasukan kita bersifat defensif pada babak awal, tapi mereka mula mengatur serangan dan bermain dengan penuh semangat pada separuh masa kedua serta memastikan pertahanan kukuh sehingga berjaya menghalang kemaraan pemain Lebanon.

"Walaupun gagal menyumbat sebarang gol tetapi saya harap mereka akan menunjukkan kesungguhan pada perlawanan di tempat sendiri nanti," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan perlawanan tersebut menerusi skrin besar bersama kira-kira 1,000 penonton di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur malam kelmarin.

Turut hadir menyaksikan siaran langsung itu ialah Ketua Setiausaha KBS, Datuk Mohid Mohamed.

Ahmad Shabery berkata, walaupun Malaysia tewas kedua-dua perlawanan persahabatan menentang Kemboja dan Qatar namun ia bukanlah kayu pengukur yang sebenarnya.

"Tidak semestinya sekiranya tewas kita tidak mampu untuk bangkit bersaing.

Mereka (pemain) telah mengambil pengajaran di atas kekalahan perlawanan itu untuk diperbaiki dan membuat persediaan sewajarnya," katanya.

Pada perlawanan persahabatan menentang Kemboja, skuad Olimpik dikejutkan dengan kekalahan 0-1 pada 7 Jun lalu dan terus dirundung malang apabila tewas 0-4 ketika menentang Qatar selang enam hari kemudian (13 Jun).

Pada perlawanan pertama pusingan kedua kelayakan Olimpik 2012 London malam tadi, Malaysia dan Lebanon terikat seri tanpa jaringan.

Terdahulu skuad Olimpik kebangsaan menewaskan Pakistan dengan agregat 2-0 untuk melangkah ke pusingan kedua.

Kali terakhir Malaysia layak ke Sukan Olimpik ialah pada 1980 di Moscow tetapi kerajaan Malaysia memboikot temasya itu kerana membantah pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan.

Sebelum itu, pemain Malaysia beraksi pada Sukan Olimpik 1972 di Munich, Jerman.

0 komentar:

Posting Komentar


Top