Senin, 20 Juni 2011

Staf awam Afrika kursus di M'sia

CYBERJAYA - Penjawat awam dari negara-negara Afrika dan melangkauinya mungkin dapat mengikuti kursus-kursus jangka pendek yang memberi tumpuan kepada agenda transformasi yang akan dilaksanakan di Razak School of Government di Malaysia tidak lama lagi, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Razak School of Government ialah sebuah institusi yang bertujuan menghasilkan golongan ikhtisas dalam bidang pembangunan kepimpinan bereputasi global.

Beliau berkata, ini berikutan minat menggalakkan yang ditunjuk oleh para pemimpin Afrika pada Dialog Antarabangsa Langkawi (LID) 2011 yang sedang berlangsung di sini.

Bercakap kepada pemberita pada akhir hari kedua LID, Najib berkata, para pemimpin amat teruja dengan program transformasi kerajaan Malaysia yang terdapat dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP).

"Mereka berminat untuk menghantar para pegawai masing-masing ke sini untuk belajar mengenai program itu secara mendalam. Malah, mereka mahu Datuk Seri Idris Jala melawat negara mereka," kata beliau sambil menambah yang ini membuktikan agenda transformasi kerajaan telah diiktirafkan oleh kedua-dua negara maju dan membangun.

Terdahulu, delegasi itu telah diberikan taklimat selama dua jam mengenai program transformasi oleh Idris, yang juga merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Ketua Pegawai Eksekutif, Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (Pemandu).

Ditubuhkan pada 2009, peranan dan objektif utama Pemandu ialah memantau pelaksanaan, menilai perkembangan, memudahkan dan menyokong sistem penyampaian dan memacu ke arah GTP dan ETP.

Najib berkata, para pemimpin juga berminat untuk mempunyai institusi pendidikan Malaysia di benua itu.

"Mereka mahu melihat lebih banyak institusi pendidikan Malaysia menubuhkan kampus cawangan di negara lain. Terdapat permintaan yang khusus daripada Kenya dan Tanzania," katanya. - Bernama

0 komentar:

Posting Komentar


Top