Senin, 20 Juni 2011

Punca Blazin Squad tersingkir

KETIDAKSEIMBANGAN pusingan battle akhir dikatakan punca utama kumpulan yang memperjuangkan konsep B-Boy, Blazin Squad (BSQ) tersingkir daripada kelompok enam teratas daripada melangkah masuk ke pusingan akhir Showdown 2011.

Blazin Squad yang dianggotai oleh tujuh orang anak muda dari Kuala Kangsar, Kedah terpaksa akur dengan keputusan juri apabila kalah dalam sesi battle bersama tiga lagi kumpulan di kelompok terbawah iaitu Panic, Rokusteps dan Bounce Stepperz.

Tema Street Flava yang dipilih mengiringi persembahan Top 6 pada minggu lalu turut menggabungkan setiap dua kumpulan untuk satu persembahan berasingan daripada aksi solo dan Blazin Squad terpilih untuk melakukan persembahan kolaborasi bersama Elecoldxhot (ECX) menerusi remix lagu Cinema daripada Benny Benasi.

Apapun, menurut juri tetap, Maple Loo dan Joe Flizzow kelemahan Blazin Squad bukan pada gerakan langkah dan tahap tenaga sewaktu beraksi sebaliknya pada koreografi pasukan tersebut.

“Kita boleh tengok apabila pasukan BSQ bergabung dengan ECX mampu membuahkan hasil tarian yang sangat luar biasa, namun apabila kumpulan ini membuat persembahan secara solo, koreografi dan sinkronisasi mereka masing kurang dan mereka masih perlukan bimbingan daripada seseorang dari sudut itu,” ujar Maple.

Blazin Squad mempersembahkan rutin penuh bertenaga dalam pusingan solo menerusi lagu Girls On The Dance Floor daripada Far East Movement bagaimanapun gagal menyaingi lawan pusingan battle, Rokusteps yang menari mengikut rentak lagu Fancy Footwork daripada Chromeo.

Menurut wakil kumpulan Blazin Squad pula, kegagalan mereka untuk beraksi cemerlang pada sesi battle ketika berdepan Rokusteps merupakan punca utama penyingkiran mereka.

“Kami tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk memperlihatkan keupayaan kami dalam pusingan Battle kerana kumpulan lawan kami mencuri masa sepatutnya daripada kami.

“Seelok-eloknya, undang-undang battle perlu diperketatkan supaya setiap kumpulan dapat membuat persembahan berdasarkan durasi masa yang sama sekali gus tidak akan ada ketidakpuasan hati mana-mana pihak,” cadang mereka lagi.

Pusingan Showdown 2011 pada minggu ketujuh ini juga telah memilih pasukan Panic yang turut tersenarai sebagai pasukan empat tercorot sebagai kumpulan terbaik minggu lalu.

Panic yang bergabung bersama kumpulan Rokusteps menerusi lagu remix Barbra Streisand oleh Ducksauce juga memukau penonton dengan persembahan mirip di bilik darjah dalam persembahan solo diiringi lagu Head of My Class oleh Scooter Smiff dan Chris Brown.

Kini hanya lima kumpulan lagi yang tinggal untuk beraksi bagi merebut gelaran juara di pentas Showdown 2011. Adakah Bounce Stepperz, Elecoldxhot, HMC Phlow, Rokusteps ataupun Panic yang bakal tersingkir pada pusingan kelapan minggu depan?

Sama-sama nantikan keajaiban persembahan lima kumpulan yang akan berentap berdasarkan tema Magic pada pukul 9.30 malam esok dan disiarkan secara langsung dari i-City, Shah Alam di saluran 8TV.

0 komentar:

Posting Komentar


Top