Senin, 20 Juni 2011

Pembalakan ancam tadahan Ulu Kusial

TANAH MERAH: Kira-kira 5,000 penduduk Mukim Ulu Kusial bimbang sumber bekalan air untuk keperluan harian dan pertanian mereka akan terjejas sekiranya kerja membalak berdekatan kawasan tadahan air di Bukit Gelugor, dekat sini dilakukan.

Bimbang sumber air terjejas, kira-kira 100 penduduk mewakili kampung dalam mukim berkenaan menyuarakan bantahan dan menuntut Kerajaan PAS Kelantan menghalang sebuah syarikat yang didakwa mereka memperoleh tender membuka dan mengambil balak di kawasan bukit berkenaan.
Bukan hanya bimbang sumber bekalan air penduduk akan terjejas, malah mereka khuatir dua kawasan rekreasi yang menjadi tumpuan ramai seperti Lata Hujan dan Lata Kapes mengalami nasib sama.
Pengerusi Gerakan Desa Wawasan (GDW) Blok Ulu Kusial, Ishak Loman, 64, mahu kerajaan negeri memberi perhatian terhadap masalah yang melanda penduduk mukim itu selaras dengan perjuangan PAS yang mahu melaksanakan negara kebajikan.

"Kita tidak mahu kawasan tadahan air yang memberi manfaat kepada kira-kira 5,000 penduduk terjejas akibat kerja membalak, air dari bukit ini juga menjadi sumber air bagi tanaman seperti padi. Oleh itu, janganlah semata-mata mengejar keuntungan, rakyat sengsara,” katanya selepas menyertai bantahan berkenaan.

Penduduk Kampung Buluh, Che Mood Che Mamat, 57, pula mahu kerajaan Kelantan mengotakan apa yang diperjuangkan mereka kini iaitu negara kebajikan ketika rakyat berada dalam kesusahan.

Penasihat Kelab Keselamatan Daerah Tanah Merah, Machang dan Jeli, Datuk Shaari Hassan, bimbang kerja membalak dilakukan di kawasan berkenaan ia akan mengakibatkan kesan buruk termasuklah menjejaskan kehidupan penduduk.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gual Ipoh, Wan Yusoff Wan Mustafa ketika dihubungi media berkata, pihaknya sudah mengajukan masalah rakyat itu kepada kerajaan negeri.

0 komentar:

Posting Komentar


Top