Senin, 20 Juni 2011

Buktikan kemampuan

KETUA jurulatih beregu negara, Rexy Mainaky menuntut Mohd. Fairuzizuan Mohd. Tazari-Ong Soon Hock membuktikan kemampuan mereka menjelang Kejohanan Badminton Siri Super Premier Terbuka Indonesia 2011 yang bakal membuka tirainya hari ini.

Rexy berkata, selepas beregu lelaki negara itu terkandas pada aksi pusingan kedua Terbuka Singapura minggu lalu, Terbuka Indonesia dilihat menjadi platform terbaik buat mereka membuktikan kemampuan masing-masing dalam usaha melakar kejayaan.

“Saya tidak pergi ke Singapura namun saya ada menyaksikan perlawanan mereka (Fairuzizuan-Soon Hock).

“Pada aksi pusingan pertama, mereka beraksi dengan baik dan berjaya mencatatkan kemenangan namun pada pusingan kedua, saya sendiri tidak pasti apakah punca kekalahan mereka.

“Saya lihat mereka terlalu mudah hilang fokus sehingga membenarkan pihak lawan mengutip mata dengan mudah.

“Bagi mengatasinya, saya akan mengadakan pertemuan dengan mereka bagi mengetahui apa dirasakan kurang terhadap corak permainan mereka dan saya akan cuba membaiki kelemahan tersebut sebelum bermulanya Terbuka Indonesia kali ini,” kata Rexy ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Pada aksi pusingan kedua Terbuka Singapura, Fairuzizuan-Soon Hock di tangan beregu jauh lebih berpengalaman, Jung Jae Sung-Lee Yong Dae dari Korea Selatan 17-21, 8-21.

Sejak digandingkan pada Terbuka Jepun September tahun lalu, Fairuzizuan-Soon Hock bergelut dengan prestasi ‘ala yo yo’ apabila sering kali terkandas dalam beberapa kejohanan yang disertai mereka selepas itu.

Rexy turut mengakui situasi tersebut dengan menganggap kedua-dua pemain itu masih belum serasi daripada aspek corak permainan mereka.

“Corak permainan kedua-dua mereka masih belum stabil lagi dan itu memang tidak boleh dinafikan.

“Namun, mereka tidak mempunyai pilihan selain perlu bekerja lebih keras sekiranya mahu mencapai kejayaan,” jelas Rexy.

Fairuzizuan-Soon Hock bakal berdepan beregu Taiwan, Fang Chieh Min-Lee Sheng Mu pada aksi pusingan pertama Terbuka Indonesia Rabu ini.

0 komentar:

Posting Komentar


Top