Senin, 20 Juni 2011

Kek Coklat Daisy taruhan Norafizan

KUALA LUMPUR - Beliau tidak pernah menyertai mana-mana pertandingan memasak sebelum ini.

Namun, itu tidak menghalang seorang peniaga kuih-muih, Norafizan Musa, 31, untuk berkelana sejauh lebih 300 kilometer dari Pekan, Pahang semata-mata bagi menyertai Cabaran Daisy Sehebat Chef 2011 peringkat Zon Tengah di AEON AU2, Setiawangsa di sini Ahad ini.

Ibu kepada dua orang anak itu berkata, kesempatan mengunjungi suaminya yang berniaga warung di Sungai Besi, Kuala Lumpur pada setiap hujung minggu akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk menyertai cabaran berkenaan.

Tidak meletakkan sasaran tinggi, Norafizan sebaliknya menjadikan penyertaannya kali ini sekadar suka-suka selain menimba pengalaman dan berkongsi ilmu daripada peserta-peserta lain serta chef terkenal, Chef Liza Zainol.

"Saya dan anak-anak sering melawat suami saya di sana pada setiap hujung minggu sejak suami berniaga di sana empat bulan lalu, jadi jarak lokasi pertandingan yang jauh dari Pekan, Pahang tidak akan menjadi penghalang kepada saya untuk turut serta menyertai pertandingan itu secara suka-suka.

"Jika layak ke peringkat akhir Alhamdulillah, jika gagal saya mungkin akan cuba lagi pada tahun depan," katanya semasa dihubungi semalam.

Norafizan berkata, untuk cabaran kali ini, beliau mempertaruhkan Kek Coklat Daisy yang dipelajari sendiri daripada seorang rakan sejak setahun lalu.

Menurutnya, beliau yakin kek coklat yang menggunakan minyak Daisy sebagai salah satu ramuan itu mampu memikat hati juri dengan rasanya yang empuk dan secukup rasa.

"Malah, saya juga bercadang untuk menghias kek dengan dekorasi watak kartun seperti Upin dan Ipin yang bertemakan Alam Fantasi sesuai dengan tema penganjur pada peringkat zon kali ini," katanya.

Norafizan berkata, sokongan suami dan anak-anak yang cukup menggemari kek coklat buatannya juga menjadi motivasi untuk beliau lebih berkeyakinan untuk menyertai cabaran kali ini.

"Penggunaan minyak Daisy yang telah sinonim dengan masakan saya sebelum ini juga diharapkan mampu memberi tuah kepada saya untuk mara ke peringkat akhir," katanya.

Hiasan Alam Fantasi cabar kreativiti peserta

KUALA LUMPUR – Kreativiti seramai 30 peserta yang bakal menyertai Cabaran Daisy Sehebat Chef 2011 peringkat Zon Tengah di AEON AU2, Setiawangsa di sini Ahad ini pastinya teruji apabila dikehendaki menghias kek dan biskut masing-masing dengan menggunakan tema Alam Fantasi. Eksekutif Iklan Kosmo!, Nizam Baharudin berkata, menerusi tema itu, setiap peserta dikehendaki bijak menawan hati juri dengan dekorasi yang menarik dan kreatif.

Sebelum ini, katanya, peserta Zon Timur bertemakan Kesenian dan Kebudayaan sementara Flora (Zon Utara), Dasar Laut (Zon Selatan) serta Hari Raya Aidilfitri pula dipilih penganjur bagi pertandingan peringkat akhir. “Langkah memperkenalkan tema-tema tersebut bertujuan untuk mencari peserta yang bukan sahaja berkemahiran tinggi membakar kek dan biskut malah kreatif memikat hati juri.

“Kesedapan bukan satu-satunya faktor penentu untuk menjuarai pertandingan itu dan peserta harus menyediakan masakan mengikut tema yang telah ditentukan,” katanya semasa dihubungi semalam. Nizam berkata, cabaran peringkat Zon Tengah pastinya lebih menarik dengan kehadiran pakar pastri, Chef Erin Zainol yang akan mengadili peserta bersama chef tetap, Chef Liza Zainol. “Markah untuk kreativiti adalah 30 markah, 20 markah pula untuk ketulenan manakala 50 markah untuk rasa,” katanya.




KUALA LUMPUR – Berita gembira kepada pembaca setia Kosmo!. Anda masih berpeluang untuk merebut sebanyak 200 minyak jagung Daisy percuma sempena Cabaran Daisy Sehebat Chef 2011 peringkat Zon Tengah di AEON AU2, Setiawangsa di sini Ahad ini. Eksekutif Iklan Kosmo!, Nizam Baharudin berkata, pemberian minyak jagung 500 mililiter (ml) itu diteruskan di kesemua tiga lagi lokasi peringkat zon selepas diagihkan kepada pembaca Kosmo! yang memeriahkan Zon Timur yang berakhir Sabtu lalu.

Menurutnya, para pembaca Kosmo! hanya perlu menukarkan dua kepala akhbar akhbar itu di kaunter lokasi pertandingan untuk mendapatkan minyak tersebut. “Ia hanya terhad kepada 200 pembaca Kosmo! yang paling awal berbuat demikian di kaunter yang akan dibuka mulai pukul 10.30 pagi hingga 11.30 pagi. “Selain di Kuala Lumpur Sabtu ini, pemberian minyak jagung Daisy secara percuma itu juga akan diteruskan di tiga lagi lokasi iaitu di Zon Utara di Star Parade, Alor Setar pada 2 Julai depan dan di Giant Tampoi, Johor Bahru pada 10 Julai,” katanya semasa dihubungi semalam.

Nizam berkata, Cabaran Daisy Sehebat Chef 2011 juga tidak mengenakan sebarang bayaran kepada para peserta yang berminat menyertainya. “Malah, ia juga memberi peluang kepada mereka yang terpilih sama ada menang atau kalah untuk menerima ganjaran wang sebanyak RM100 bersama hadiah Daisy dan barangan Tupperware bernilai RM100,” katanya. Selain mengalu-alukan penyertaan orang ramai untuk menyahut cabaran itu, Nizam turut menasihatkan bakal peserta supaya tidak berlengah menghantar borang permohonan kerana tarikh tutup penyertaan berbeza di setiap zon iaitu di Kuala Lumpur (esok), di Kedah (30 Jun) dan 7 Julai bagi yang berada di Johor.

0 komentar:

Posting Komentar


Top