Senin, 20 Juni 2011

Kontinjen UM bermula garang

UNIVERSITI Malaya (UM) memulakan saingan dengan bergaya apabila mencatatkan kemenangan pada aksi sulung peringkat kumpulan A acara badminton berpasukan wanita pada Karnival Sukan Majlis Sukan Universiti-Universiti Malaysia (Masum) semalam.

Kejayaan itu hadir selepas kejayaan mereka mengenepikan cabaran pasukan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kemenangan 5-0 di Pusat Sukan BSC, Serdang Raya semalam.

Mata pertama UM pada perlawanan tersebut disumbangkan pemain perseorangan, Daphne Ng Chiew Yen diikuti pasangan beregu, Syen Chyn-Lim Yee Mei.

Kedudukan mereka terus kukuh menerusi kemenangan Nik Noor Nabilah Md. Ibrahim dalam acara perseorangan kedua diikuti kemenangan beregu Ooi Yu Hang- Lee Kim Keat dan Tor Phi Nn (perseorangan ketiga).

Menurut Yee Mei, mereka tidak boleh terlalu yakin dengan kemenangan pada pusingan awal ini kerana masih banyak lagi cabaran sengit yang bakal dilalui.

"Pada perlawanan pagi tadi (semalam), boleh dikatakan kami berjaya menang dengan mudah ke atas pasukan UKM.

"Walaupun kami menang mudah tetapi ia tidak menjadikan kami berada dalam keadaan selesa untuk beraksi dalam kumpulan A menentang pasukan UPM esok (hari ini)," kata pelajar jurusan Sains dan Teknologi itu.

Turut meraih kemenangan semalam ialah Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang menang mudah ke atas Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dalam saingan Kumpulan B sementara Universiti Sains Malaysia (USM) mudah menjinakkan Univeristi Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) 5-0 dalam saingan Kumpulan C.

Perlawanan pusingan awal badminton akan diteruskan pada hari ini bermula 8.30 pagi.

Bagi saingan dalam kategori lelaki pula, pasukan pilihan dalam Kumpulan A, UiTM mencatatkan kemenangan ke atas Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZA), 5-0.

UPM selaku tuan rumah karnival kali ini turut mempamerkan kegarangan apabila menewaskan UniMap 5-0 dalam saingan Kumpulan C.

Saingan dalam Kumpulan E pula menyaksikan Universiti Tun Hussien Onn (UTHM) tewas 2-3 kepada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Selain badminton, acara lain yang berlangsung semalam ialah bola tampar, bola baling dan hoki yang masih pada peringkat awal.

Saingan diteruskan hari ini dengan acara olahraga yang akan berlangsung di Kompleks Sukan UPM menjadi tumpuan.

0 komentar:

Posting Komentar


Top