Senin, 20 Juni 2011

Flat sardin bandar di Rusia

DI SEBALIK siling yang tinggi dan tingkap-tingkap besar yang membolehkan dia melihat keluar ke arah sebuah gereja, rumah pangsa Natalya Zavyalova terus mengekalkan kehidupan yang mudah dan ringkas serta ciri masa lampau sebelum berlakunya revolusi.

Kira-kira seabad yang lalu, ia merupakan salah sebuah kediaman yang hebat di Rusia. Bagaimanapun, kini, ia telah menjadi rumah pangsa yang sesak bak tin ikan sardin atau dikenali sebagai kommunalka, iaitu sebuah rumah untuk sepuluh orang dari keluarga berlainan.

Koridor di tengah-tengahnya yang agak panjang, tandas dan bilik dapur yang sesak itu telah diubah suai untuk keperluan penghuni yang ramai oleh pemerintah Soviet sebagai satu percubaan mengurangkan pembahagian kelas.

Seperti kebanyakan penduduk St. Petersburg, Zavyalova, 34, seorang juruwang di sebuah pasar raya, tidur dan tinggal di bilik seluas 25 meter persegi dengan anak perempuannya, Liza, 13.

KESESAKAN di laluan koridor pangsapuri seperti ini adalah perkara biasa bagi para penghuninya.

Secara keseluruhannya, rumah pangsa kongsi di tengah-tengah bandar.itu mempunyai lima bilik dan 10 penghuni berusia dua tahun hingga 80 tahun termasuk seorang pemandu bas, seorang pesara, seorang akauntan, pekerja limbungan dan seorang jururawat.

Di dapur pula terdapat empat dapur gas, empat meja makan malam dan empat peti ais. Setiap keluarga mengambil giliran membersih dengan satu jadual tergantung dalam ruang tamu.

Seperti dalam kebanyakan rumah kongsi, bilik mandi dan tandas sangat kotor, dinding-dinding perlu dicat baharu dan lantainya buruk sama sekali.

Hidup dalam ruang yang sempit, 'jiran-jiran serumah' itu sering bertengkar sejak beberapa tahun. Natalya mengakui dirinya tidak lagi bersua dengan seorang wanita di kediamannya sejak dua tahun lepas, walaupun mereka berkongsi ruang yang paling peribadi.

"Namun, ada juga waktunya untuk kami bergembira. Ia seperti mendapat keluarga baharu," katanya, merujuk kepada keadaan penghuni yang sering berkumpul untuk majlis tertentu atau untuk meraikan hari cuti kebangsaan.

St. Petersburg yang berpopulasi lima juta orang penduduk, masih mempunyai lebih daripada 100,000 flat kongsi. Kebanyakan daripadanya berada di tengah-tengah bandar bersejarah dan dibina tiga abad lalu oleh pemerintah autokratik Peter The Great.

Flat kongsi muncul di Rusia pada tahun-tahun selepas Revolusi 1917, apabila pihak berkuasa tergesa-gesa mengalihkan pekerja buruh di bandar ke rumah pangsa kelas pertengahan dan bekas bangsawan.

Dalam tindakan kejam itu, bekas pemilik rumah pangsa tersebut terpaksa menerima hakikat bahawa ruang privasi mereka kini hanyalah di dalam sebuah bilik tidur, sementara yang lainnya dikongsi.

Tidur di bilik mandi

Pada tahun 1920, pelawak, Mikhail Zoshchenko melukis lakaran tentang penghuni rumah pangsa kongsi yang terpaksa tidur di bilik mandi dan berkongsi berus untuk menyental badan.

Pangsapuri yang dihuni Zavyalova adalah sebuah bangunan lima tingkat yang dibina pada abad ke-19 di kawasan sesak. Ia berada dalam keadaan yang lebih baik daripada kebanyakan yang lain kerana ia telah diubah suai semula sekitar tahun 1980-an.

Pihak berkuasa Soviet cuba untuk memenuhi keperluan perumahan baharu di kawasan urban dengan membina blok apartmen untuk golongan elit di bawah pemerintahan Stalin dan Khrushchev.

Namun, kewujudan berterusan flat kongsi menggagalkan usaha mereka. Itu berlaku terutamanya di Saint Petersburg yang tidak banyak mempunyai perancangan pembinaan perumahan moden.

Hak persendirian

DUA orang 'jiran serumah' berkongsi ruang dapur di salah sebuah pangsapuri di St. Petersburg.

Lewat tahun 1980-an, hampir 40 peratus daripada pangsapuri atau Leningrad di tengah-tengah bandar kekal sebagai rumah kongsi.

Selepas perpecahan Kesatuan Soviet pada tahun 1991, pihak berkuasa telah memberikan penghuni hak persendirian untuk biliknya dan juga sebahagian daripada ruang yang dikongsi sebagai syarat menjadi pemilik kediaman.

Kebanyakan bilik flat kongsi itu dimiliki orang kaya Rusia. Sebagai balasan, para penghuni lain diberikan rumah pangsa persendirian yang kecil di pinggir bandar.

St. Petersburg masih menawarkan keutamaan dan harga subsidi untuk penghuni rumah kongsi jangka panjang yang ingin membeli bilik mereka. Begitupun, pihak berkuasa telah mengumumkan matlamat untuk menghapuskan semua flat kongsi menjelang tahun 2020.

Keluarga Marina Romanova, 40, kini pemilik tunggal pangsapuri kongsi. Dahulunya, dia hanya memiliki salah satu daripada bilik di pangsapuri itu.

"Kami mempunyai persekitaran yang baik bersama seorang jiran," kata ahli biologi itu yang tinggal dengan suami dan anaknya.

Romanova menambah, dirinya juga mampu meminjam sekitar dua juta Ruble (RM216,600) daripada seorang penjawat awam yang berkhidmat dalam dewan bandar.

Namun begitu, bandar itu masih menjadi tempat rasmi bagi ribuan flat dengan masing-masing mempunyai enam hingga lapan buah bilik. Semua kediaman itu hanya menjalani sedikit proses penambahbaikan sejak tahun 1917 dan kini ia masih diduduki penghuni yang sukar untuk bersetuju dengan perjanjian jualan.

Ramai penduduk rumah pangsa kongsi mengadu mereka tidak dapat mengumpul jumlah yang diperlukan untuk menjadi pemilik tunggal atau untuk membeli sebuah rumah kecil di pinggir bandar.

Lyudmila Alexandrova, 57, bekas anggota polis, berkata, beliau tidak mempunyai peluang untuk meninggalkan pangsapuri kongsi yang dikongsi bersama 11 orang penghuni lain bersebelahan terusan Griboyedov.

"Kami tidak ada harapan untuk berpindah keluar dari sini," katanya.

0 komentar:

Posting Komentar


Top