Rabu, 15 Juni 2011

Usop Wilcha DJ Hot AM Krew

SIAPA yang tidak kenal dengan watak Usop Wilcha daripada filem Hantu Kak Limah Balik Rumah (HKLBR) yang sudah sebati dengan gaya liuk-lentok gemalai jari persis penari kebudayaan bersama trademark "kita bakor je"?.

Sesungguhnya, filem arahan Mamat Khalid itu cukup rempah-ratusnya untuk mencipta ledakan fenomena tersendiri sehingga mencuri tumpuan semua pihak.

Setelah kemunculannya di pentas Anugerah Bintang Popular di Genting Highlands secara mengejut bersama kerusi rodanya umpama sambungan HKLBR baru-baru ini, Usop atau nama komersialnya Shy8, 46, dilamar pula oleh stesen radio terkenal Hot FM.

Katanya yang ditemui ketika sesi fotografi di Studio Utusan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur baru-baru ini menjelaskan penyertaannya bersama Hot FM merupakan titik perubahan dalam kariernya dalam bidang seni.

"Sebelum ini saya hanya berlakon dan menyanyi, tidak salah sekiranya saya mencuba sesuatu yang baharu seperti bidang pengacaraan radio memandangkan saya juga sangat suka mendengar radio pada awal-awal pagi setiap hari," katanya yang optimis dengan peluang yang diberikannya itu.

Menurut pemilik nama asal Syed Mohamad Asri Syed Osman Jamalulail itu, tugasnya bersama deejay tetap Fara Fauzana, Faizal Ismail dan AG yang mengendalikan segmen Hot FM AM Krew cuma penambah ruang-ruang perbualan dan menyuntik elemen humor yang segar secara spontan.

"Saya harap dapat bagi satu suntikan humor secara berilmiah dan terkini dalam segmen ini selain cuba menyelit dalam mana-mana ruang percakapan yang ada," bicaranya yang menyimpan minat mendalam dalam bidang penyampaian radio.

Dua kerja satu masa

Ibarat pucuk dicita ulam mendatang, Shy8 tidak menyangka kemunculannya pertama kali dalam segmen yang ke udara seawal pukul 6 pagi hingga 11 pagi itu mendapat respons dan impak positif daripada pendengar Hot FM.

"Tidak terduga kemunculan saya pertama kali dalam segmen itu mendapat perhatian ramai sehingga ramai yang membuat panggilan, menghantar SMS (Khidmat Pesanan Ringkas), memberi respons dalam Facebook dan Twitter untuk berkomunikasi dengan saya ketika itu.

"Setelah melihat reaksi sedemikian daripada pendengar, pihak pengurusan memutuskan untuk melantik saya sebagai salah seorang penyampai radio Hot FM dan saya memberikan persetujuan," ujarnya yang menyasarkan matlamat hidup untuk melakukan pelbagai perkara.

Tambahnya yang masih bertugas sebagai Pengurus Komunikasi Korporat syarikat Tanjung Offshore Berhad pada masa yang sama, impiannya adalah untuk meneroka apa jua bidang baharu selagi peluang diberikan.

"Selagi saya bernafas, Insya-Allah selagi itu saya akan cuba memanfaatkan peluang masa yang Allah berikan untuk mencuba pelbagai perkara dan berkongsi ilmu yang saya ada untuk orang ramai," tegas bapa kepada Syed Caliph Umar yang baru berusia 10 bulan itu.


Tatkala ditebak dengan pertanyaan sejauh mana kelonggaran yang diberikan pihak pengurusan di syarikat asalnya, Shy8 menjawab, fleksibiliti untuk melaksanakan dua tugas serentak diamanahkan kepadanya.

"Saya pernah menyatakan hasrat untuk berhenti tapi majikan tidak menerima perletakan jawatan saya sebaliknya memberi kelonggaran untuk masuk ke pejabat pada masa-masa tertentu contohnya selepas selesai semua urusan saya di konti.

"Malah, mereka juga memahami jadual tugas saya dan memberikan pertimbangan yang sewajarnya untuk bertugas," ceritanya yang turut memberikan penangan gelombang luar biasanya itu kepada isterinya, Noorafiza Abdul Aziz, 28.

Keserasian berempat

Bagi Fara Fauzana, 31, selaku rakan setugas Shy8, kekuatan yang terdapat pada humor Shy8 memberikan kesan yang berbeza kepada pendengar yang berbeza.

"Humornya yang spontan mungkin akan menarik lebih ramai peminat bukan saja yang sudah berusia malah golongan pendengar usia muda memandangkan kebolehannya berjenaka secara spontan.

"Tapi pada masa yang sama momentum dan dinamika setiap penyampai radio perlu kekal dalam paras tertinggi dan perlu faham bahagian masing-masing untuk memastikan segmen berjalan lancar tanpa kaku," katanya.

Faizal Ismail, 34, atau serasi dipanggil FBI pula menganggap keserasian antara keempat-empat deejay yang mengendalikan segmen Hot FM AM Krew itu dtercipta berdasarkan jurang perbezaan umur yang tidak terlalu jauh antara satu sama lain.

"Keserasian ini merupakan satu kombinasi tanpa sempadan namun yang penting adalah kesucian niat untuk melakukan sesuatu.

"Apabila kita melakukan tugasan dengan ikhlas pasti jiwa itu ada dan daripada jiwa itu akan wujud keserasian bersama," ujarnya berfalsafah.

Kemasukan Shy8 sebagai salah seorang penyampai radio Hot FM katanya bukan berhasrat untuk mencari pengganti deejay sedia ada sebaliknya berniat menambah rempah dalam segmen itu sejak lima tahun beroperasi.

"Apa yang dicakap selama ini oleh kami (Fara Fauzana dan Faizal Ismail) sudah didengar oleh orang ramai selama lima tahun.

"Tambahan pula, Shy8 sentiasa tampil dengan humornya yang sendiri namun dalam versi yang ilmiah dan berketerampilan.

Faizal menyandarkan harapan penuh kepada Shy8 untuk menarik lebih ramai pendengar yang menyokong perkembangan Shy8 sekali gus meningkatkan rating semasa Hot FM.

"Semestinya pendengar mahukan pembaharuan dan seboleh-bolehnya ini peluang yang kami tawarkan kepada semua sebagai satu suntikan baharu," getusnya yang yakin dengan kebolehan Shy8.

Related Posts

0 komentar:

Posting Komentar