Rabu, 15 Juni 2011

U-Kiss di Pavillion, Kuala Lumpur (Malaysia)

MINI konsert band asal Korea Selatan, U-Kiss yang diadakan di pintu masuk utama pusat beli-belah Pavillion, Kuala Lumpur pada Jumaat lalu telah berjaya menarik ramai peminatnya untuk berkampung di pusat beli-belah itu sejak pukul enam petang meskipun persembahan hanya bermula pada pukul 8 malam.

Malah, ada di antara peminat mereka sanggup menunggu sejak pukul 10 pagi di lokasi sidang akhbar diadakan pada hari yang sama di restoran Daorae Korean BBQ di Desa Sri Hartamas, Kuala Lumpur hanya untuk menatap wajah bintang kesayangan mereka dari dekat.

U-Kiss yang dianggotai oleh tujuh anak muda iaitu, Soohyun, Kiseop, Eli, AJ, Hoon, Kevin dan Dongho berkunjung ke Malaysia untuk mempromosikan mini album terbaru mereka berjudul Bran New Kiss. Tidak sukar untuk berbicara dengan band U-Kiss semasa sesi sidang akhbar kerana kebanyakan daripada anggota U-Kiss fasih berbahasa Inggeris.

"Album baru ini berbeza dengan album terdahulu kerana ia lebih menonjolkan vokal kami. Album sebelum ini, kebanyakan vokal menggunakan auto-tone, selain itu imej kami juga banyak berubah daripada imej budak jahat kepada imej lebih dewasa dan matang," kata AJ yang turut menyumbang lirik lagu dalam tiga buah lagu untuk album Bran New Kiss.

U-Kiss telah melahirkan sebuah album penuh berjudul Only One pada Februari 2010 dan lima buah mini album iaitu New Generation, Bring It Back 2 School, ContiUkiss, Break Time dan Bran New Kiss.

Tidak hanya menyanyi, malah, mereka juga aktif sebagai pelakon di Korea. Dongho, Eli dan Kiseop terlibat dalam sitkom terbaru yang berjudul Real School. Dongho juga popular apabila berlakon dalam drama pertamanya yang berjudul Royal Family dan memegang watak Jo Byung Joon.

"Saya suka berlakon dan akan terus memberikan yang terbaik, harap anda semua sukakan lakonan saya walaupun banyak lagi yang harus saya perbaiki," kata Dongho.

Apabila disoal apa yang menariknya tentang Malaysia, lantas mereka semua bersetuju mengatakan makanan di Malaysia antara tarikan utama. Pengalaman daripada kunjungan pertama di Malaysia pada tahun lalu membuatkan mereka lebih bijak memilih makanan apabila datang ke Malaysia buat kali kedua.


"Baru malam tadi sebelum sidang media kami semua makan sate, memang sedap. Kami juga sukakan nasi lemak," ujar Eli.

Mereka juga menghafal beberapa patah perkataan Melayu seperti apa khabar, terima kasih dan saya cinta kamu. Walaupun hanya perkataan yang ringkas, terlihat jelas kesungguhan mereka untuk menghiburkan peminat mereka di Malaysia.


Diakui nama mereka mungkin tidak sebesar Super Junior di Malaysia tetapi band yang mula lahir ke dunia seni pada tahun 2008 itu dilihat mempunyai potensi yang cukup cerah untuk menawan hati peminat muzik di Malaysia.

Strategi melakukan mini konsert di tempat terbuka seperti Pavilion bukan sahaja berjaya menarik peminat fanatik mereka tetapi juga peminat baru yang kebetulan berada di tapak mini konsert.

Persembahan dimulakan oleh penyanyi muda Ikwal dan tepat pada pukul 8 malam, suasana mula riuh dengan jerit pekik peminat mereka yang turut membawa sepanduk dan segala macam hadiah.

Peminat bertuah berjaya naik ke atas pentas dan berpeluang bertanya soalan kepada bintang pujaan mereka, turut diadakan kuiz meniru tarian U-Kiss dan pemenang dapat bergambar bersama dengan U-Kiss di atas pentas.

Malah, ada peminat yang terpilih naik ke atas pentas tidak melepaskan peluang untuk bersalaman dan ada yang sempat memeluk anggota-anggota U-Kiss .

Sebelum persembahan bermula, peminat terlebih dahulu membuat kejutan buat U-Kiss dengan menyanyikan lagu Selamat Hari Jadi dalam bahasa Inggeris dan juga Korea buat AJ dan Dongho yang kebetulan menyambut hari lahir pada bulan Jun.

Persembahan yang dibawakan oleh Radioactive dan diuruskan oleh Redstar serta Marctensia itu dimulakan dengan lagu 0330, Bing Gul Bing Gul, Man Man Ha Ni dan Shut Up.

U-Kiss dan restoren Daorae Korean BBQ juga bekerjasama dalam memberi sumbangan RM30,000 sebuah rumah anak yatim tempatan. Sebelum persembahan berakhir, AJ sempat berpesan kepada peminat U-Kiss yang mereka akan datang ke Malaysia lagi untuk membikin sebuah konsert besar.

Related Posts

0 komentar:

Posting Komentar