Senin, 20 Juni 2011

NUTP syor insentif guru buat kerja tambahan

Kesatuan mahu skim bayaran tiga baris dikaji semula

KOTA BHARU: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) meminta kerajaan supaya membayar insentif atau bayaran khas kepada guru yang memiliki kepakaran dan sanggup melakukan kerja tambahan di sekolah.
Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim Pheng, berkata pada dasarnya, kira-kira 17,000 ahli NUTP sentiasa bersedia dengan beban kerja tambahan yang terpaksa dilakukan di sekolah bagi memastikan proses pembelajaran dan pengajaran (P&P) berjalan lancar.
Katanya, guru yang memiliki kepakaran lebih dari satu mata pelajaran itu tidak pernah menerima sebarang bayaran atau insentif lain walaupun terpaksa menanggung bebanan kerja terutama menjadi guru ganti mata pelajaran tertentu.

“Guru yang memiliki kepakaran lebih dari satu mata pelajaran itu tidak pernah menerima sebarang bayaran atau insentif walaupun dibebani dengan kerja tambahan dan kira-kira 17,000 ahli NUTP sanggup memikul beban itu.

“Memandangkan selama ini mereka bekerja dalam keadaan sukarela, sudah tiba masanya kerajaan menimbangkan usul supaya guru memiliki kepakaran dan bersedia dibebani kerja lebih itu dibayar insentif sebagai menghargai khidmat mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung NUTP Cawangan Kelantan Ke-19, di sini, semalam.

Yim Pheng berkata, dalam perkembangan lain, NUTP berharap kerajaan akan mengkaji semula skim bayaran guru daripada tiga baris seperti yang dipraktikkan sekarang kepada sistem sebaris, dengan mewujudkan satu gred satu baris.

Katanya, melalui kaedah ini, ia boleh mewujudkan satu laluan budaya kerjaya lebih lancar, profesional, sihat dan berkualiti sekali gus meningkatkan tahap P&P yang cemerlang untuk kemajuan pelajar di negara ini.

“NUTP juga meminta kerajaan supaya menilai semula guru yang sudah lama berkhidmat dan berpengalaman menerusi skim gaji bersepadu, yang mampu mewujudkan laluan kerjaya menarik kepada guru bermula dari gred 41 sehingga gred seterusnya.

“Apabila skim itu dipersetujui kerajaan, guru yang berpengalaman ditambah tempoh perkhidmatannya dan secara tidak langsung mereka layak menerima kenaikan gaji sebelum bersara dengan bayaran pencen lebih besar, sesuai dengan tempoh berkhidmat,” katanya.

Ditanya mengenai cadangan kerajaan menggantikan Peperiksaan Tahap Kecekapan (PTK) kepada Program Sepadu Pembangunan Kompitensi (PROSPEK), beliau berkata, NUTP bersedia mengikuti dasar baru itu, namun berharap pelaksanaannya nanti harus mengambil kira kepentingan guru.

“NUTP harap PROSPEK ini akan memberi peluang kepada ramai guru untuk naik pangkat tanpa sekatan dan kesulitan, selain berharap kerajaan akan memanggil kami untuk membincangkan sebarang cadangan baru sebelum ia dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.

Related Posts

  • Perkahwinan tanpa lelakiMELAYARI bahtera cinta sehingga ke jenjang pelamin pasti menjadi impian setiap pasangan yang bercinta. Selepas mendirika…
  • Jejak warisan lama daerah terpencilSELEPAS melewati bumi Hatyai, Thailand dengan kereta api, penulis beralih ke Pantai Timur Semenanjung Malaysia pula deng…
  • Merancang kewangan keluargaIBU kepada empat orang cahaya mata, Fazuliana Wari Dali, 36, tidak pernah gagal daripada tanggungjawab menguruskan perbe…
  • Kursus Apiic AcademyADAKAH anda sedang bekerja dan merancang untuk menambahkan lagi kemahiran pendidikan dalam bidang teknikal? Akademi pemb…
  • Saat menilai cintaSETIAP kali menjelang tahun baru, melakukan resolusi mengenai karier, hal kewangan dan cinta sememangnya menjadi rutin b…

0 komentar:

Posting Komentar